Pada waktu itu, keutamaan untuk mewujudkan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (National Cancer Society, NCSM) ialah bagi menyediakan tempat tinggal bagi pesakit-pesakit kanser
yang menerima rawatan di Kuala Lumpur. Dengan tabung yang diisi melalui pelbagai kempen, Persatuan ini telah mengubahsuai wad-wad lama Tai Wah di Hospital Besar Kuala Lumpur supaya dapat menyediakan tempat bagi 80 orang pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan.
Semasa tahun-tahun awal penubuhannya, Persatuan ini menyedari betapa tingginya jumlah kes-kes kanser rahim yang telah lanjut. Dalam usaha untuk menggalakkan para pesakit mendapatkan nasihat perubatan dengan segera, Persatuan ini telah mengadakan program pendidikan kepada orang
ramai untuk menekankan pentingnya pengesanan awal kanser.
Bertapak dari sinilah Persatuan ini telah mewujudkan Pusat Penyaringan Sitologi di Malaysia pada tahun 1966. Berbagai ujian pengesanan (seperti ujian-ujian PAP smear /lumuran PAP untuk mengesan penyakit pada peringkat awal supaya dapat meningkatkan peluang untuk sembuh) disediakan
di pusat tersebut.
Pada tahun 1976, melalui sokongan daripada orang ramai dan sumbangan-sumbangan daripada para dermawan,Persatuan ini telah membina sebuah bangunan empat tingkat kepunyaan sendiri - Bangunan Cegah Barah.
Pada hari ini, bangunan ini telah mengembangkan aktivitinya dengan merancang program-program pendidikan bagi kumpulan-kumpulan tertentu seperti sekolah-sekolah, kesatuan-kesatuan wanita, kilang-kilang dan organisasi-organisasi swasta. Program-progran ini bertujuan untuk mendidik
orang ramai tentang kanser dan pentingnya mendapatkan pengesanan awal.